07 November 2015 l SABTU : Seramai 50 orang peserta telah menyertai Tamrin Organisasi yang telah diadakan di Dewan Kohilal, Diamond Square hari ini.

Tamrin Organisasi anjuran Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan (DMPWP) itu bertujuan untuk melahirkan pemimpin DMPWP yang berwibawa untuk merancang dan melaksana gerak kerja Jemaah dengan teratur dan berkesan.

Selain itu, penganjur ingin mewujudkan satu takwim yang telah dimurnikan dengan setiap organisasi diperingkat DMPWP dan Dewan Muslimat PAS Kawasan (DMPK). Tujuan lain ialah mempersiapkan diri setiap pemimpin muslimat di Wilayah Persekutuan dengan ukhuwah Islamiyah dan bersifat kerohanian yang mendalam.

Tamrin dimulai dengan taklimat program yang disampaikan oleh Puan Sakinah binti Awang selaku Pengarah Program merangkap Naib Ketua Muslimat DMPWP. Setelah itu, semua peserta membaca Surah As-Soff beserta terjemahannya.

Kemudian, Bengkel Pemurnian Takwim dan Gerak kerja DMPWP dibuat secara berkumpulan mengikut lajnah. Antaranya Lajnah Jentera Pilihanraya, Lajnah Kebajikan, Lajnah Tarbiyah, Lajnah Ekonomi, Lajnah Pemerkasaan Parti, Lajnah Penerangan dan Ameerah.

Beberapa slot khas telah disusun untuk memberi pendedahan yang jelas kepada semua peserta tamrin seperti Slot Piihanraya, Slot Organisasi, Slot Tarbiyah dan Slot Ekonomi. Slot-slot ini disampaikan oleh pimpinan-pimpinan yang telah dijemput oleh pihak penganjur.

Kumpulan sasaran Tamrin ini adalah terdiri daripada AJK DMPWP, AJK Harian DMPK, AJK Harian GEN3, Ketua Lajnah Penerangan DMPK, Ketua Lajnah Tarbiyah DMPK dan Ketua Lajnah Ekonomi DMPK.

Tamrin Organisasi ini telah berjaya diadakan selama sehari.