TANGKAK: Islam pernah menjadi teras pemerintahan Kesultanan Melayu dan kesatuan dalam membebaskan negara dari cengkaman penjajah, serta sebagai asas kepada perjuangan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

Demikian intipati ucapan yang dipertegaskan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan (Pihak 11), di sini, 5 September.

Terangnya, Syariat Islam telah dilaksanakan dalam pemerintahan dan perundangan di Melaka, Terengganu dan Johor sebagaimana catatan dalam arkib sejarah.

Namun katanya, penjajah dengan hasad dengkinya kepada Islam telah menyerang Tanah Melayu untuk menjatuhkan pemerintahan Islam.

“Perjuangan menetang penjajah tidak bermula dengan tahun 1946 oleh Umno, itu mengarut.

Umno menentang penjajah juga, kita tak nafi. Tapi jangan kita baca menentang penjajah inibermula dengan Umno tahun 1946. Alam Melayu (terlebih dahulu) telah menghantar pejuang-pejuang mereka menentang penjajah.

“Fateh Yunus daripada Jawa, datang dengan rombongan dia untuk berjihad menentang Portugis. Sultan Hassanuddin, Raja Haji dari Sulawesi datang untuk menentang penjajah di Melaka. Minangkabau dan Banjar datang untuk menentang penjajah di sini. Menyebabkan Tanah Melayu dipenuhi oleh suku-suku kaum Jawa, Bugis, Banjar dan lain-lain.

“Nenek moyang Jawa, Bugis, Banjar, yang datang ke Tanah Melayu ini bukan nak tanamkelapa, ingat nak tanam kelapa sahaja? Nak tanam kelapa di Banjar masih luas tanah.

Kalimantan, di Jawa pun luas, masih ada tanah sampai sekarang ini, mereka datang untuk berjihad, menentang penjajah,” tegasnya.

Katanya, penjajah dari Portugis, Belanda dan British datang membawa agenda politik perdagangan serta menyekat kebangkitan perjuangan Islam selain membawa masuk orang China dan India yang dijadikan buruh di lombong dan ladang.

Jelas beliau, kesan perebutan antara kuasa penjajah, menyebabkan bangsa lain diperhamba dan menjadi korban perang sesama mereka.

Perkara sama juga terjadi apabila agama-agama lain menjadi teras kuasa pemerintahan, maka rakyat dari kaum atau agama lain menjadi mangsa fanatik dan ketidakadilan.

Menurut Ustaz Abdul Hadi lagi, bukan hanya Umno memperjuangkan kemerdekaan, tetapi PAS turut sama dalam usaha tersebut.

“Dalam Sidang Afro Asia di Bandung yang dianjurkan oleh negara-negara Asia dan Afrika yang sudah merdeka dan menuntut kemerdekaan, siapa wakil Tanah Melayu? Dr Borhanuddin, Ketua PAS yang ketiga, Saadon Zubair, pemimpin Umno orang Johor. Umno dan PAS sama-sama hadir ke Sidang Afro itu, sama-sama menuntut kemerdekaan.

“Kemudian berunding dengan British, kita nak merdeka cara kita, Umno cara dia, Dato' Onn cara dia, berbeza pendapat. Akhirnya cara Tunku (Abdul Rahman al-Haj) berjaya, berunding kemerdekaan. Menerima orang-orang yang bukan Islam yang datang ke sini, sebagai sebahagian daripada penduduk negeri ini, syarat kemerdekaan,” ujarnya menegaskan PAS mahu mengisi kemerdekaan dengan Islam.

Atas segala asas sejarah dan realiti itulah katanya, PAS menerima hakikat kemajmukan masyarakat negara ini di mana hanya dapat disatukan di bawah pemerintahan berasaskan Islam yang dapat memberi keadilan untuk semua.