KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan Bajet 2016 dibentangkan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai ‘Bajet Bunga Api’ yang tidak akan membawa perubahan dan kejayaan kepada negara.
 
“Bagi saya Bajet 2016 tidak lebih daripada seperti permainan kerajaan menghadiahkan rakyat dengan bunga api. Satu majlis bunga api besar-besaran di sebelah malam, sehingga apabila dilancarkan bunga api, tersebut semua rakyat akan berkata “woww” alangkah cantiknya bunga api tersebut.
 
“Tetapi dalam beberapa minit sahaja, maka yang kita tengok adalah kegelapan sebelah malam, langit gelap yang ada hanyalah bintang-bintang yang jauh untuk dicapai. Inilah bajet, bajet bunga api ataupun panadol kalau saya buat satu perumpamaan,” ujarnya ketika membahaskan Bajet 2016 di Parlimen baru-baru ini.

Menurut beliau, hubungan negara adalah hubungan di antara orang-orang yang kuat dengan orang lemah, orang kaya dengan orang-orang miskin, di mana kewujudan mereka adalah menjadi sunnah Allah Taala di muka bumi.
 
Jelasnya, tiada negara yang tidak ada orang miskin dan orang kaya, justeru kekayaan dan kemiskinan ada hubungan di antara keduanya.
 
Lebih menarik katanya, kemiskinan adalah satu kemuliaan kerana Allah SWT telah melahirkan Rasulullah SAW dalam keadaan menjadi anak yatim dan dengan rahmat-Nya, Dia menukar Rasullah SAW daripada miskin kepada kekayaan.
 
Iaitulah terangnya, kekayaan jiwa dan kekayaan apabila Baginda memperolehi kerajaan untuk menyusun kehidupan rakyat di dunia sampailah hari akhirat.
 
“Dalam perbincangan buku-buku ekonomi oleh para pakar ekonomi, antara yang menarik disebut ialah sesebuah negara akan menjadi bahagia dan berjaya apabila pengurusan politik terutama sekali urusan ekonominya diuruskan dengan cara berfikir orang miskin. Apabila orang kaya menguruskan sebuah negara, maka dia tidak akan mampu membawa negara tersebut kepada kejayaan dan kebahagiaan.
 
“Itulah nilai kemiskinan yang ada pada sesebuah negara yang perlu kita bincang dalam perbincangan kita, dalam bajet negara kita dan saya rasa adalah betul kalau kerajaan meletakkan golongan 40 peratus ke bawah menjadi tumpuan,” aju beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Malaysia.
 
 
Ekonomi Mensejahterakan
 
Ujar Nik Abduh, dunia ekonomi hari ini menyaksikan keruntuhan negara-negara maju dan kaya yang sentiasa berbicara mengenai pendapatan tinggi negara di mana semua itu telah berakhir.
 
Ahli-ahli ekonomi katanya, mula bercakap bahawa negara yang benar bukanlah negara yang berpendapatan tinggi, tetapi menjanjikan rakyat kehidupan yang makmur, sejahtera dan bahagia.
 
Beliau menyebut beberapa ukuran oleh para ulama ataupun para sarjana ekonomi mengenai negara sejahtera dan mampu membahagiakan rakyat.
 
Pertama jelasnya, dilihat pada kadar pengangguran, sebagai petunjuk sebuah negara yang berjaya mempelbagaikan sumber rezeki nan luas untuk rakyat.
 
“Kedua adalah jurang ataupun kesenjangan pendapatan ekonomi antara golongan kaya dan golongan miskin. Ia adalah sebagai petunjuk wujudnya ehsan dan wujudnya agihan yang adil dalam sumber pendapatan negara. Ketiga adalah tahap kuasa ataupun pendapatan boleh guna rakyat. Ia menjadi petunjuk kebebasan rakyat untuk berbelanja apa yang mereka mahu tanpa bebanan hutang dan ikatan.
 
“Dan terakhir yang keempat ialah kadar jenayah dalam negara yang boleh kita sebut sebagai dua; satu jenayah dalam masyarakat, dan yang kedua ialah jenayah di kalangan kolar putih ataupun di kalangan pemimpin peringkat atas. Ia sebagai petunjuk benarnya ataupun betulnya pekerjaan ataupun sumber rezeki, halalnya sumber rezeki yang dijana oleh rakyat.
 
“Ini termasuklah jenayah kolar putih, korupsi yang melanda pegawai atasan dan pemimpin politik. Apa yang saya ingin sentuh ialah kerajaan kita Malaysia gagal dan agak teruk dalam memenuhi dan menepati etika ataupun petunjuk di atas,” bidasnya.
 
Menyentuh mengenai pengangguran, beliau berkata, walaupun kerajaan menyatakan kadar di negara ini masih rendah, tetapi kajian-kajian menunjukkan bahawa 70 peratus daripadanya adalah pemegang ijazah.
 
Malah jelasnya, ramai anak muda berijazah terpaksa bekerja dengan gaji yang lebih rendah berbanding dengan kelulusan mereka iaitulah bermakna tawaran pekerjaan aadalah cukup sedikit.
 
Agak dahsyat bagi beliau, apabila Malaysia berada pada jurang kaya miskin yang paling teruk dari kalangan negara rantau Asean.
 
Perkara tersebut juga ujarnya, melibatkan jurang antara kaum dalam negara yang menjadi petanda bahawa pengagihan sumber rezeki gagal ditangani oleh pihak kerajaan.
 
“Kemudian mengenai pendapatan boleh guna kita berhadapan dengan kenaikan harga barang yang mencekik pengguna hari ni dan kerajaan tak mampu untuk memberikan sebarang solusi bagaimana untuk menyelesaikan kenaikan harga barang.
 
“Begitu juga hutang isi rumah yang besar, bukan sahaja mereka payah atau agak sukar untuk membayar rumah yang mereka beli, bahkan agak sukar sekarang ni untuk anak muda mendapatkan sebuah rumah sehingga mereka terpaksa hidup dalam rumah kotak yang sempit,” ajunya lagi.
 
Menyebut mengenai kajian dibawa oleh Frost and Sullivet yang dilantik oleh pihak kerajaan, Nik Abduh menyatakan, kajian itu menunjukkan bahawa indeks rasa selamat negara hanyalah berada pada tahap 39 peratus.
 
Lebih malang lagi katanya, hanya 10 peratus orang awam percaya kadar jenayah di Malaysia menurun.
 
Perkara itu ujarnya, bermakna walaupun pihak keselamatan menunjukkan turunnya jenayah, tapi di sisi rakyat hanya 10 peratus percaya perkara yang disebut oleh pihak kerajaan tersebut.
 
“Perkara ini berlaku, saya nak sebut beberapa perkara ini gagal, kerana kerajaan melakukan suatu banyak kesalahan-kesalahan besar. Pertama saya nak sebut mengenai perjanjian yang dibuat oleh kerajaan dengan pihak syarikat-syarikat besar. Sebagai kerajaan, syarikat-syarikat ni sebagai anak, tapi apabila perjanjian diadakan, anak mengikat ayah, bukan ayah mengikat anak.
 
“Isu yang pertama ialah konsensi lebuh raya yang sampai hari ni hari-hari rakyat bercakap mengenai kenaikan harga tol dan baru ni tol naik lagi dan ia menggambarkan janji Perdana Menteri adalah gagal bahawa kerajaan akan menyelesaikan isu tol.
 
“Begitu juga perjanjian dengan Syarikat IPP yang menyebabkan kenaikan harga barang, elektrik dan isi rumah dan yang ini terakhir mengenai perjanjian yang akan dibuat oleh kerajaan Malaysia, perjanjian yang lebih besar,” ujarnya merujuk TPPA yang ditakuti akan terus mengikat negara dan bahang panasnya pasti akan dirasai oleh rakyat nanti.
 
 
PM Gembira, Rakyat Derita
 
Menurut beliau, Perdana Menteri kelihatan gembira menyebut mengenai kejayaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dapat mengimbangi turunnya harga minyak.
 
Tetapi katanya, dilihat rakyat semakin hari semakin tertekan hidup mereka dan dalam kesempitan yang meragut kebahagiaan hidup.
 
Jelas beliau, dalam Islam apabila kerajaan mengenakan cukai, pihak yang paling gembira ialah orang miskin.
 
“Ini dalam Islam, kerana apabila cukai dikutip bermakna kerajaan ingin memenuhkan perbendaharaan mereka, kerana tak cukup dan mereka yakin perbendaharan itu, hasil itu akan dihantar balik kepada orang miskin.
 
“Tetapi dinegara kita sebaliknya. Perdana Menteri begitu gembira dengan pelaksanaan GST, tetapi adakah kegembiraan dia dikongsi oleh rakyat? Saya yakin 80 peratus rakyat tidak gembira dengan kegembiraan Perdana Menteri. Asas dalam Islam ialah “Diambil cukai itu daripada orang kaya dan dihantar balik kepada orang miskin.”
 
“Sebab itulah GST ini adalah tidak dibenarkan oleh Islam dan dia lebih teruk daripada SST yang juga mempunyai konsep yang hampir sama,” tempelaknya.
 
Ustaz Nik Abduh memetik perbahasan Imam as-Syatibi yang menjelaskan bahawa percukaian tidak dibincangkan para ulama semasa Kerajaan Islam awal memandangkan kekayaan Baitulmal adalah mencukupi.
 
Tetapi jelasnya, perbincangan berlaku kemudian dan dibahaskan oleh para ulama apabila negara dan kewajipan-kewajipannya semakin membesar dan dilaksanakan dalam negara-negara Islam.
 
“Inilah wujudnya contoh yang besar dalam sejarah Islam bagaimana menguruskan sebuah negara yang telah mencapai satu tahap kesejahteraan rakyat yang dahsyat. Sehingga sebuah negara itu, tidak lagi memerlukan cukai tambahan selepas dilaksanakan sistem Islam yang lebih mudah.
 
“Iaitu mengambil zakat daripada orang-orang kaya dan juga jizyah daripada orang-orang bukan Islam pada masa itu. Saya sebut sejarah lepas, jadi tinggal lagi ialah adakah kita bersedia, adakah kerajaan hari ni bersedia untuk beriman untuk yakin, untuk melihat pada sistem Islam yang baik, ataupun kita masih lagi was-was?
 
“Masih lagi dalam keadaan bingung sama ada untuk menoleh ke depan kepada Islam ataupun kita menoleh kepada Barat ataupun kepada Timur?” aju beliau.
 
 
Beliau juga memetik surah Quraisy menyentuh mengenai nikmat rezeki dan keamanan di mana ia menjadi faktor yang diukur ahli ekonomi sebagai kejayaan sesebuah negara.
 
 
Mohon Untuk Kelantan
 
Dalam perbahasan itu juga, beliau mengajukan agar Kerajaan Persekutuan membantu Kelantan untuk pertumbuhan ekonomi lebih besar.
 
Katnya, rakyat Kelantan sudah bersedia dengan ilmu, kemahiran dan kekuatan untuk menjadikan Kelantan sebagai titik ekonomi penting dalam negara ini.
 
“Maju Kelantan insyaa-Allah majulah negara Malaysia. Rakyat Kelantan menuntut hari ni pertama lebuh raya yang selesa di antara Kota Bharu dan Kuala Lumpur. Yang kedua naik taraf lapangan terbang ke peringkat ‘international’. Yang ketiga pembinaan pelabuhan.
 
“Bagi projek pembinaan kereta api laju di antara Kelantan Kuala Lumpur melalui Terengganu dan Pahang, walaupun kosnya disebut mungkin lebih besar daripada kereta api laju Kuala Lumpur dan Singapura, saya mengharapkan ia dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
 
“Saya juga nak sebut rakyat Kelantan terus yakin bahawa royalti minyak adalah hak rakyat Kelantan dan kami akan terus berjuang untuk mendapatkan royalti minyak tersebut. Saya mohon supaya Stadium Mini Pasir Mas dapat ‘upgrade’ sama menjadi stadium kedua di Negeri Kelantan,” ujarnya mengakhiri perbahasan.