Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Firman Allah SWT yang bermaksud :
"Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Rabb-Nya di pagi dan senja hari, dengan mengharap keredhaan-Nya. Dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini. Dan jangan-lah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingat Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.” (Qs. Al-Kahfi: 28).

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani?Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w dan ahli keluarga serta para sahabat baginda.


Pertama dan selamanya marilah kita mengangkat setinggi - tinggi kesyukuran kepada Maha Pencipta, sekalian alam, Maha Pemberi Nikmat, yg melimpahkan Rahmat serta menaburkankasih sayangNya, kerana kita masih diberi peluang sekali lagi untuk menikmati nafas baru bagi tahun baru Islam 1437H

Landskap bumi Malaysia dilimpahi dengan pelbagai kisah sepanjang tahun ini. Fenomena jerebu, isu 1MDB, TPPA, kes penculikan kanak-kanak, kemalangan, gejala rasuah yang makin menjadi, dan berbagai lagi isu-isu yang berlaku saban hari.

Begitu juga perihal yang berlaku di negara-negara Islam seperti di bumi Palestin, Syria, Jordan yang telah meragut ramai nyawa-nyawa insan yang tidak berdosa. Semoga Allah terus berikan kekuatan dan ketabahan serta permudahkan segala urusan saudara-saudara seagama dengan kita.

Allah SWT berulang kali di dalam al-Quran memerintahkan supaya manusia mengambil pengajaran daripada peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh umat-umat yang terdahulu sebagai iktibar dan peringatan untuk semua. Justeru, sempena maal hijrah bersama menghayati dan mempelajari bagaimanakah pengorbanan yang telah dilalui oleh baginda Rasulullah SAW dan para sahabat demi menegakkan syiar Islam di muka bumi ini.

Ayuh! Berhijrahlah dalam semua bidang di dalam kehidupan, sama ada bidang ekonomi, politik, teknologi dan sebagainya, maka selaraskanlah semuanya agar selari dengan tuntutan mencari keredhaan Allah SWT.

Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan (QS. Huud : 112)

Akhir kalam sebagai titipan untuk direnungi,

Pesan As-Syahid Imam Hassan Al-Banna :

“Aku membayangkan al-mujahid itu sebagai seorang pemuda yang sentiasa membuat persiapan, menyediakan bekalan, berupaya menguasai fikiran yang memenuhi setiap sudut jiwa dan segenap jurusan hatinya. Dia sentiasa berfikir dan menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap persiapan yang terus menerus. Apabila diseru dia menyahut. Apabila dipanggil dia menjawab. Pulang dan perginya, perkataan dan bicaranya, kesungguhan dan gurauannya tidak melampau bidang yang disediakan untuknya. Dia tidak mengambil tugas selain yang telah dituntut ke atasnya. Dia berjihad di jalanNya. Kamu dapat membaca pada garis wajahnya, melihat pada kilauan matanya dan mendengar pada gerakan lidahnya segala yang bergelora dalam hatinya berupa hawa yang melekat, kesakitan yang terpendam, keazaman yang benar, kesungguhan, cita-cita yang tinggi dan matlamat yang jauh sentiasa memenuhi jiwanya”

Terus Istiqamah Hingga Kemenangan!


Ustazah Nuridah Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
1 Muharram 1437 H | 14 Oktober 2015