BAJET 2016: BERTAUBAT DAN MAAF TIDAK MENGHUKUM

Firman Allah:                                             

“Dan Janganlah jadikan tanganmu terbelenggu dileher (bakhil) dan jangan pula terhulur seluas-luasnya (boros). Nanti kamu menjadi terduduk dalam keadaan tercela dan menyesal. Sesungguhnya Allah melimpahkan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakinya dan menentukan kadarnya. Sesungguhnya Allah berlaku terhadap hamba-Nya dalam keadaan Maha Mengetahui lagi Maha Melihat” (Surah al-Isra’: ayat 29-30)

Inilah petunjuk Allah yang mengajar manusia cara-cara berbelanja dengan betul (istiqamah) dan menjadi panduan untuk individu sehinggalah dalam urusan negara. Allah menyifatkan sebagai salah satu daripada ciri-ciri kebijaksanaan (hikmah) bagi manusia.

Sudah menjadi kebiasaan pembentangan bajet akan dikemukakan jumlah hasil dan pendapatan. Dan dikemukakan juga peruntukan dan perbelanjaan yang besar bagi menjana ekonomi negara demi kemajuan, keselesaan kehidupan rakyat dalam segala aspek dan melancarkan perjalanan jentera kerajaan.

Ukuran kejayaan bajet yang sebenar adalah memastikan semua pihak dalam keadaan selesa. Bajet tidak mencapai matlamat kalau pihak kerajaan sahaja yang selesa, sedangkan rakyat masih menderita dengan masalah mereka yang belum selesai atau mendatangkan masalah baru yang menimpa kehidupan seperti masalah kemiskinan yang masih ada, kemudahan asas belum dipenuhi dan ditambah dengan masalah inflasi yang membebankan kehidupan dalam segala aspeknya, di antaranya; kenaikan harga barangan keperluan harian yang tidak boleh ditampung dengan pendapatan yang tidak mencukupi. Dan juga keamanan hidup yang tidak terjamin dengan kadar jenayah yang meningkat atau tidak di atasi serta kemalangan yang sering berlaku.

Parlimen menjadi tempat bermuhasabah samada membahaskan yang telah berlangsung untuk menjadi iktibar atau bakal dilaksanakan supaya lebih berhemat dan berhikmah.

Bagi penganut Islam diajar agar beriman bukan sekadar Wawasan 2020 yang sudah hampir tiba bahkan lebih mencabar lagi menghadapi wawasan akhirat dengan adanya perhitungan dosa dan pahala dalam segala aspek urusan hidup bermasyarakat yang tidak dipisahkan daripada Islam yang lebih luas maknanya daripada perkataan agama yang difahami pihak yang lain termasuk dalam aspek politik, ekonomi dan pengurusannya.

Dalam aspek ekonomi pula lebih menjadi penekanan dalam kehidupan duniawi apabila menjadikan ekonomi seperti berhala yang dipuji oleh semua ideologi dan teori ciptaan manusia seperti kiblat yang dihadap ketika beribadat.

Islam menegaskan bahawa aspek ekonomi merupakan sebahagian daripada perkara amanah yang besar tanggungjawabnya.

>>Klik Teks Penuh Ucapan Bajet 2016 MP Marang PDF