PAS memberi amaran terhadap agenda Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang akan menurutnya menghilangkan sempadan bumi dan perairan, sekali gus sifat kemanusiaan sejagat.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, penjajahan baru 'berlandaskan' undang-undang itu ibarat cacing dalam perut ular atau ikan dalam mulut jerung.

Anggota parlimen Marang itu membangkitkan bagaimana golongan seperti petani dan nelayan kecil akan bersaing selepas perjanjian itu dilaksanakan.

“...sama sahaja nasibnya para kontraktor tempatan akan bersaing dengan kontraktor gergasi yang masuk kerana perjanjian yang merobekkan sempadan ekonomi negara,” kata presiden parti Islam itu

“Belum lagi dikira dolar Amerika yang tidak diketahui cagarannya tetap perkasa, mungkin dengan kertas kosong, kerana kuasa besar bersemangat penjajah melindunginya dengan kadar ringgit yang tidak mampu dipertahankan.”

Bercakap ketika membahaskan Bajet 2016 di Dewan Rakyat, petang semalam, Hadi justeru berkata TPPA bukan penyelesaian terhadap masalah ekonomi global.

Ia, sebaliknya, kata Hadil ebih bersifat penjajahan baru dalam aspek ekonomi kerana ia didakwa tidak mewujudkan kerjasama yang saksama dan adil.

“Adalah lebih baik bagi negara kita mengadakan kerjasama serantau dan negara yang yang terdekat diutamakan,” katanya.

Rundingan TPPA melibatkan 12 negara telah dimuktamadkan di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Ia akan dibincangkan di parlimen sebelum ditandatangi negara terlibat.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden AS Barack Obama  dijadual sekali lagi melawat Malaysia bulan depan.

Ia dilihat antara langkah melobi Malaysia menerima perjanjian itu, walaupun berdepan bantahan hebat pembangkang dan masyarakat sivil.