Lajnah Pemerkasaan Parti Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) merupakan salah satu lajnah amat penting bagi membawa DMPM terus maju ke hadapan. Untuk melaksanakan tanggungjawab itu sememangnya berat, namun dengan pelbagai langkah berkesan yang telah disusun, amanah tersebut diyakini mampu dilaksanakan sebaik mungkin seperti yang diharapkan kesemua ahli PAS.

Ikuti temubual Wartawan Kanan Harakah, ANIS NAZRI bersama Pengerusi Lajnah itu yang juga Timbalan Ketua DMPM dalam kunjungannya ke Pejabat Editorial Harakah pada 29 Jun lalu. Foto WAN ZAHARI WAN SALLEH.

HARAKAH: Selain sebagai Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr juga merupakan Pengerusi Lajnah Pemerkasaan Parti. Bolehkah Dr nyatakan pendekatan terbaik yang bakal dilakukan dalam usaha mendekatkan kembali ukhuwah ahli-ahli parti yang kelihatan agak ‘bergelora’ ketika ini?

DR ROSNI ADAM: Ya, bagi tujuan tersebut kita berusaha untuk turun ke kawasan-kawasan bagi mengadakan pertemuan dan perbincangan. Dalam pertemuan itu kita bersoaljawab dan menerangkan apa sahaja yang dipersoalkan mereka. Sebenarnya mereka lebih suka apabila dapat mendengar penjelasan daripada kita sendiri. Setakat ini, dengan mengadakan pertemuan sebegini, ia mampu memantapkan semula DMPM. Insya-Allah.

HARAKAH: Bagaimana pendekatan DMPM dalam usaha engagement dengan NGO?

DR ROSNI ADAM: Kita akan engage dengan mana-mana NGO yang memang dari kalangan kita sendiri. Kita akan melakukannya secara berperingkat. Kita tidak bolehlah engaged terus dengan Sisters In Islam (SIS), contohnya.

Kita boleh bermula dengan Nisa’ yang boleh dikatakan laju gerak kerja mereka. Ameerah juga. Sekarang, Nisa’ ini sudah mula bergerak ke kawasan-kawasan apabila mereka membuat jaringan dengan Muslim Care. Kami masih belum sempat turun negeri, tapi Nisa’ sudah mula. Begitu juga Ameerah dan Bridged Muslimat.

Dalam pada itu, ada empat sektor yang saya fikirkan bagi lajnah ini untuk membawa muslimat ini ke arah mana. Kita akan mengadakan engagement dengan NGO-NGO dan selepas itu akan menyerahkan tugas tersebut kepada lajnah-lajnah tertentu.

Sektor pertama yang akan saya berikan perhatian ialah organisasi dan pentadbiran yang terletak di bawah setiausaha, yang kedua sektor perhubungan awam, dan kemudiannya sektor perancangan strategik dan inovasi dan juga sektor kursus dan latihan.

Keempat-empat sektor ini bukan setakat pelan tindakan DMPM, tapi KPI kena dilihat sama ada tercapai atau tidak. Sektor kursus dan latihan ini perlu bagi tujuan memperkasakan pemimpin dan juga ahli-ahli, organisasi, dan boleh juga saya sebutkan memperkasakan ekonomi.

HARAKAH: Ada pihak yang menganggap barisan kepimpinan baru lebih dikuasai golongan agamawan yang mungkin menyukarkan usaha memperkasakan parti atau mengangkat nama DMPM dengan sektor-sektor utama yang Dr sebutkan tadi.

DR ROSNI ADAM: Kabinet DMPM ini yang menariknya ia seimbang di antara para alimat, profesional dan aktivis. Di kalangan profesional, kami ada dua doktor perubatan, dua doktor pergigian, dan dua doktor PhD, yang masing-masing mempunyai kemahiran dalam bidang- bidang tertentu seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Apabila kepimpinan baru naik, ada persepsi DMPM kurang YB (Yang Berhormat). Kita anggap itu sebagai cabaran. Sebenarnya dalam DMPM ada ramai lagi yang berpotensi untuk dibawa ke hadapan. Sebab itu kita mahu menumpukan kepada sektor kursus dan latihan bagi melahirkan lebih ramai muslimat bagi berhadapan dengan isu semasa.

Alhamdulillah, pada mesyuarat pertama sebelum ini, kita lihat ramai di kalangan muslimat yang berlumba-lumba memberikan cadangan dan pandangan, selain sudah mengatur perancangan bagi lajnah yang diwakili mereka.

Kita berusaha untuk menumpukan perhatian kepada lajnah-lajnah seperti Lajnah Perpaduan Nasional yang berada di bawah Dr Najihatussolehah. Kita hendak membantu memperkasakan Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Begitu juga dengan Lajnah Antarabangsa yang dahulunya hanya ada di peringkat pusat. Tetapi kali ini kita adakan di peringkat DMPM sendiri.

HARAKAH: Tidakkah tanggapan-tanggapan negatif daripada sesetengah pihak melemahkan DMPM atau ia lebih menyemarakkan lagi usaha untuk mengangkat DMPM?

DR ROSNI ADAM: Saya melihat perkara itu dari sudut positif. Saya rasa ada bagus juga apabila orang meletakkan persepsi negatif. Jangan orang meletakkan high expectation, kerana bila letak high expectation kita susah. Tetapi apabila letak low expectation kita akan lebih bebas. Saya yakin dengan kombinasi kabinet yang ada ini, ia boleh melonjakkan DMPM.

Tugas saya adalah antara yang saya corncern dari segi corporate image. Imej organisasi ini, antaranya saya mahu jika ada peluang wawancara dengan pihak antarabangsa seperti sebelum ini, yang menemuramah Ketua DMPM, Ustazah Nuridah Salleh, kita mempunyai keupayaan dan kemahiran untuk terjemahan. Macam hari ini, saya suka lihat wakil English Section Harakah yang turut serta.

HARAKAH: Dalam berhadapan dengan pelbagai isu membabitkan wanita dan keluarga seperti penderaan, penceraian, bagaimana DMPM dapat sama-sama membantu agar perkara itu dapat dibendung?

DR ROSNI ADAM: Dalam DMPM kali ini, kami ada Lajnah Pembangunan Keluarga di bawah YB Aishah Ghazali. Kita sebagai wanita yang mempunyai naluri kewanitaan, keibuan, kita kena ada lajnah sebegini. Di peringkat pusat tidak ada.

Insya-Allah, dalam isu sedemikian, kita berusaha untuk melatih ahli menjadi kaunselor kerana masalah penderaan ini, penceraian ini ada kaitan dengan penyakit rohani.

Bagi saya, semua itu memerlukan rawatan seperti rawatan syifa’. Itu yang kita mahu latih muslimat yang berada dalam medical team yang diletakkan di bawah Lajnah Kebajikan. Dalam AJK DMPM sendiri ada beberapa pemimpin yang sedang mempelajari bidang syifa’ ini dengan Darul Syifa’, termasuk Ustazah Nuridah sendiri.

Dalam masa sama, kita minta juga daripada Dato’ Dr Haron Din satu modul bernama Spiritual Healing sebagai panduan kepada ahli.

HARAKAH: Adakah DMPM akan meneruskan jaringan bersama Kementerian Pembangunan Wanita dengan adanya Lajnah Pembangunan Keluarga DMPM ini?

DR ROSNI ADAM: Dahulu kita pernah berjumpa dengan Dato’ Seri Shahrizat Jalil, yang ketika itu saya sendiri berada di dalam Nisa’. Kita sangat attach dengan sayap wanita mereka dan insya-Allah ia boleh diteruskan.