Tidak sampai sebulan selepas pemilihan kepimpinan baharu, kalendar Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) telah dipenuhi dengan pelbagai program. Dalam tempoh masa tersebut juga, sudah tiga kali mesyuarat diadakan bagi mengatur pelbagai program termasuk aktiviti-aktiviti ziarah.

Menurut ketuanya, Ustazah Nuridah Salleh, kerja awalan yang dilakukan DMPM ialah mengumpul sumbangan untuk gempa bumi di Ranau, Sabah yang berlaku 5 Jun lalu. Malah beliau sendiri serta Pengerusi Lajnah Kebajikan dan beberapa kepimpinan yang lain telah menyampaikan sumbangan secara langsung kepada mangsa gempa bumi. Bersempena dengan bulan Ramadan, DMPM juga telah mengadakan program Ihya’ Ramadan di sana.

Ustazah Nuridah dan Kartini bersama pihak Kedutaan Australia yang menemubual mereka pada 26 Jun lalu.

Program Ihya’ Ramadan juga turut melibatkan beberapa negeri lain yang akan dikunjungi DMPM. Johor, Kelantan, Kedah dan Sarawak merupakan antara negeri yang akan terlibat dengan program Ihya’ Ramadan.

Program yang dinamakan ‘Sentuhan Kasih Ramadan’ itu akan diadakan di keempat-empat negeri berkenaan pada 4 Julai secara serentak dan disertai ahli jawatankuasa yang berbeza.

“Kami peruntukkan setiap negeri itu RM1,500 untuk Dewan Muslimat PAS Negeri (DMPN) membeli barang-barang keperluan bagi kegunaan harian. Kemudian terpulanglah kepada DMPN untuk memilih kawasan yang akan diberi sumbangan tersebut. Jadi, AJK-AJK yang akan pergi ke negeri-negeri yang dipilih itu untuk menyampaikan sumbangan,” katanya pada pertemuan dengan editorial Harakah pada 29 Jun lalu.

“Kerja awalan yang dilakukan DMPM ialah mengumpul sumbangan untukgempa bumi di Ranau, Sabah yang berlaku 5 Jun lalu.” – Ustazah Nuridah.

Program ‘Sentuhan Kasih Ramadan’ di negeri Kelantan akan diadakan di Dun Kijang memandangkan kawasan tersebut seringkali terlibat dengan banjir, manakala bagi negeri Kedah dipilih kawasan Dun Merbau Pulas.

DMPM turut prihatin dengan situasi berlaku dalam PAS kebelakangan ini serta berusaha untuk menyatupadukan ahli-ahli PAS yang dilihat tidak sepakat. Untuk itu, DMPM akan turun ke negeri-negeri dan kawasan-kawasan untuk sesi dialog dan penerangan.

Dengan cara face to face ini, jelas Ustazah Nuridah, ia mungkin dapat merungkaikan segala persoalan-persoalan yang timbul serta salah satu usaha yang dapat menautkan kembali hati-hati yang terluka.

DMPM juga mendapat perhatian dari pihak antarabangsa apabila pihak Kedutaan Australia menemubual beberapa orang kepimpinannya berkaitan pembabitan Dewan Muslimat dalam masyarakat.

Wan Hasrina sedang membincangkan sesuatu bersama Kartini.

Menurut Setiausaha DMPM, Kartini Ahmad, temubual pada 26 Jun itu turut melibatkan ahli akademik dari Universiti Western Australia yang banyak mengemukakan persoalan berkaitan hudud dan pendirian DMPM terhadap kumpulan Militan Negara Islam (Isis).

Sementara itu, menerusi kerjasama dengan sebuah NGO, DMPM juga akan membincangkan isu-isu yang sering diutarakan Sister In Islam berkaitan isu wanita dan keluarga.

“Kita berharap sekurang-kurangnya kita dapat menyaingi pandangan yang sering diutarakan SIS kerana kebanyakan pandangan SIS lebih kepada kebaratan. Jadi, kita akan memberikan alternatif daripada sudut pandangan Islam sendiri berkaitan isu wanita dan keluarga.

“Pandangan SIS seringkali tidak selari dengan PAS. Walaupun mereka menawarkan pendekatan logik, sekurang-kurangnya kita hendak tawarkan alternatif bagaimana sesuatu permasalahan melibatkan wanita dan keluarga itu boleh diselesaikan dengan cara dan pendekatan Islam,” ujarnya.

{jathumbnail off}