1. Isnin 27hb Jan 2014 dunia dikejutkan dengan pemergian seorang tokoh ulamak, tokoh gerakan Islam dan pemikir Islam yang agong iaitu Syeikh Dr Abdul Karim Zaidan ke rahmatullah. Beliau juga merupakan bekas Penasihat Umum bagi gerakan Ikhwan Muslimin di Iraq. Janazahnya dikebumikan di San'a, Yaman, bumi yang terakhir menjadi tempat beliau bernaung selepas terpaksa keluar meninggalkan bumi kelahiran beliau iaitu Iraq.

2. Dewan Ulamak PAS Pusat mengucapkan takziah atas pemergian beliau kepada se luruh umat Islam, khususnya keluarga almarhum, anak-anak murid beliau dan warga Univesiti Iman, San'a di bawah naungan Syeikh Abdul Majid Zandani yang menjadi pusat ilmu di mana beliau menjadi salah seorang mahagurunya. Pemergian tokoh ulamak Islam ini merupakan kehilangan besar bagi ummat.

3. Beliau dilahirkan di Baghdad pada tahun 1921. Berkelulusan Ijazah Pertama dari Fakulti Undang-undang Univ Baghdad, Master dan Phd Pengajian Islam Universiti Kaherah tahun 1962.

4. Beliau merupakan bekas Mursyidul Am Iraq. Mengasaskan Fakulti Pengajian Islam di hujung 60 an dan berjaya melahirkan graduan namun kemudiannya ditutup oleh Parti Sosialis Iraq dan beliau sendiri dikenakan seumpama tahanan rumah. Beliau terus ditekan sebagai seorang tokoh Ulamak sehingga akhirnya terpaksa berhijrah meninggalkan Iraq pada awal 90 an.

5. Beliau pernah menjawat jawatan Profesor Undang-undang Islam dan Ketua Jabatan Syariah, Fakulti Undang-undang, Univ Baghdad dan Dekan Fakulti Syariah, Universiti Baghdad.

6. Antara karya beliau yang terkenal ialah ensiklopedia Hukum-hakam berkaitan Wanita dan Keluarga Muslim sebanyak 11 juzuk yang mendapat Anugerah Antarabangsa Raja Malik Faisal pada tahun 1997 M/1417 H.

7. Antara tulisan beliau yang terkenal dan menjadi rujukan di banyak fakulti pengajian Islam di seluruh dunia ialah

  •  Hukum-hakam Zimmi dan Musta'min dalam Negara Islam
  • Pengenalan Pengajian Syariah Islam
  • Usul Dakwah
  • Al-Wajiz - Syarah Qawaid Fiqhiyyah
  • Sistem Kehakiman dalam Islam

8. Moga Allah merahmati roh beliau dan memberikan ganjaran terbaik untuknya di alam Barzakh dan di Hari Akhirat. Moga kita juga berjaya mengikut jejak langkah beliau sebagai orang berilmu dan beramal dengan ilmunya.

 

Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus
28 hb Jan 2014