Serangan Terhadap PAS Gagal Hakis Gelombang Sokongan Yang Kian Meningkat 

Oleh wartawan@dupp 

Machang, 28hb November - Perjuangan PAS terus mendapat sambutan yang berterusan sejak mutakhir ini walaupun pelbagai serangan dan ujian terpaksa ditempuhi.

 Demikian tegas Timbalan Mursyidul Am PAS , Dato Ahmad Yakob kepada para perwakilan ulamak dari seluruh Malaysia yang berkampung di MADU, Machang dalam program Tamrin Qiadi Ulamak semalam.

Beliau yang juga merupakan Menteri Besar Kelantan turut melahirkan rasa bersyukur dengan sokongan yang tidak berbelah bahagi dan terus meningkat kepada kerajaan Kelantan daripada pelbagai pihak terutamanya sokongan daripada para ulamak.

PAS Kerajaan Kelantan telah berjaya melaksanakan agenda pentadbiran Islam dengan pencapaian yang sangat memberangsangkan setelah ianya diasaskan pada era al marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ujar beliau lagi,  sebelum ini banyak buku-buku yang ditulis oleh tokoh-tokoh cendikiawan gerakan Islam dunia yang menceritakan tentang agenda misi perjuangan Islam untuk menegakkan sebuah negara Islam. 

Apa yang menarik ialah agenda pentadbiran Islam yang sebelum ini tersimpan dalam khazanah kitab-kitab telah  berjaya direalisasikan oleh Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim yang ditunjangi oleh PAS.

Ujar beliau lagi , PAS juga telah berjaya membuktikan bahawa parti itu telah berjaya menyatukan pelbagai  latarbelakang rakyat Malaysia dibawah wadah perjuangan PAS.

Peristiwa 13 Mei membuktikan bahawa PAS telah berjaya mengamalkan politik toleransi yang tinggi dimana negeri yang diperintah oleh PAS berada dalam keadaan aman dan damai.

Menurut beliau lagi , hasil perjuangan dan  prinsip PAS yang tetap dan konsisten di atas landasannya menyebabkan PAS terus mendapat sambutan dari pelbagai lapisan masyarakat.

Menurut beliau lagi,  penganjuran Tamrin Qiadi Ulamak dianjurkan pada masa yang tepat kerana ianya merupakan perkara asas yang sangat penting dalam mencapai kemenangan dan melonjakkan lagi sokongan ini.