MENJAWAB CADANGAN PEMANSUHAN HUKUMAN KHALWAT

20 DISEMBER 2015

 

1. PAS Kawasan Batu Gajah melihat cadangan pihak G25 untuk memansuhkan hukuman terhadap perbuatan berkhalwat yang didakwa melanggar hak kebebasan seseorang seperti termaktub di dalam Perlembagaan adalah sesuatu yang serius dan perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak yang bertanggungjawab.

 2. Menurut hemat PAS Kawasan Batu Gajah berdasarkan laporan-laporan akhbar, kumpulan ini sebenarnya tidak bersetuju dengan modus operandi tangkapan khalwat sahaja, walaupun dilaporkan mereka tidak bersetuju dengan keseluruhan undang-undang hukuman bagi kesalahan tersebut.

3. Pihak PAS Batu Gajah berhasrat untuk memberikan pencerahan ringkas berkenaan dengan isu ini. Kumpulan ini memahami bahawasanya hukuman itu bercanggah dengan hak kebebasan sebagaimana diperuntukan oleh Perlembagaan Malaysia. 

Sebenarnya perlembagaan dengan jelas memberikan kelebihan kepada Islam berbanding mana-mana agama lain untuk diamalkan di Malaysia dan sama sekali tidak bercanggah. Berikut secara ringkas ialah peruntukan berikut:

3.1. Perkara 3 (1) memperuntukan Islam sebagai agama persekutuan

3.2. Perkara 12 (2) memberian keistimewaan kepada Islam dari sudut dana kerajaan

3.3. Perkara 121 (1A) menghalang mahkamah sivil untuk mencampuri urusan mahkamah syariah

3.4. Senarai II Jadual Kesembilan memberikan kuasa kepada negeri untuk menguruskan perihal agama Islam

Justeru, semua peruntukan di atas secara asasnya memberikan kelebihan kepada Islam untuk diamalkan di dalam Malaysia tanpa sebarang percanggahan.

4. Seandainya mereka memahami bahawasanya hukuman itu dikatakan bercanggah dengan hak asasi manusia berdasarkan persetujuan Malaysia dengan perisytiharan sejagat mengenai Hak-hak Asasi Manusia (UDHR) 1948, ia juga tidak tepat berdasarkan kepada fakta berikut:

4.1. Perkara 4 (1) jelas menunjukan Perlembagaan Malaysia sebagai sumber perundangan tertinggi di Malaysia, bukan deklarasi UDHR 1948 tersebut.

4.2. Walaupun SUHAKAM menerima perisytiharan tersebut, tetapi perkara 4 (4) Akta SUHAKAM 1999 mendokong Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi

4.3. Menurut artikel 18 Perjanjian Antarabangasa Hak Sivil dan Politik 1966 menyebutkan “Kebebasan untuk mengamalkan kepercayaan dan agama adalah terhad sebagaimana tersebut di dalam undang-undang dan bertujuan untuk memelihara kesejahteraan awam, ketertiban, kesihatan ataupun moral atau hak asasi dan kebebasan orang lain”

4.4. Deklarasi Kaherah yang Malaysia tandatangani berkenaan dengan Hak Asasi dalam Islam 1990 artikel 12, 16, 19 (d) dan 22 (a) (b) memperuntukan hak asasi manusia haruslah selari dengan syariat Islam.

5. Seandainya menurut hemat mereka dosa peribadi bukan kesalahan jenayah, maka seharusnya mereka amat tahu bahawasanya undang-undang sivil juga mengiktiraf bahawasanya kesalahan moral (‘dosa peribadi’) juga merupakan satu jenayah. Berikut ialah buktinya:

5.1. Akta Penapisan Filem 2002, Bahagian III (Kawalan Filem Dan Bahan Publisiti Filem) per. 5 (1) (a) dan (2) berkenaan larangan dan hukuman bagi orang yang memiliki filem lucah atau yang bertentangan dengan kesopanan awam. 

5.2. Kanun Keseksaan Seksyen 292 (a),(b),(c),(d) dan (e) turut memperuntukan hukuman terhadap pemilikan dan perusahaan lucah. Bahkan perlakuan tidak sopan juga boleh dikenakan hukuman sehingga 5 tahun menurut Seksyen 509 kanun yang sama.

5.3. Mahkamah Agung Canada bukan sahaja menguatkuasakan Kanun Jenayah ke atas perlakuan homoseksual (walaupun dilakukan secara sukarela), bahkan menjadikan ia sebagai “pesalah seksual yang berbahaya” (lihat Yves Caron, “The Legal Enforcement of Morals and the So-Called hart-Devhn Controversy (hal. 11))

6. Justeru, PAS Kawasan Batu Gajah menyarankan agar pihak berkuasa persekutuan memanggil mereka untuk memberikan penjelasan dan memberikan jawapan balas yang sewajarnya kepada mereka. Setelah itu, seandainya pihak mereka masih melampaui batas sehingga (seandainya) mengganggu-gugat peruntukan perundangan sedia ada, maka barulah tindakan sewajarnya wajar diambil.

7. PAS Batu Gajah juga menyeru agar pihak bertanggungjawab menjadikan kritikan daripada G25 ini sebagai satu respon balas daripada masyarakat bagi menambahbaik prosedur operasi standard (SOP) dan modus operandi operasi khalwat sedia ada.

KETUA URUSAN ULAMAK,

PAS KAWASAN BATU GAJAH,

MOHAMAD RIDHAUDDIN BIN MOHD SALLEH