Lembah Pantai, 31 Oktober 2015. Program Busking Dakwah (Muzikal Dakwah), anjuran Lajnah Dakwah Badan Perhubungan WP, dengan kerjasama DAC DPPWP, Lajnah Dakwah LP & Jabatan Keseniaan LP, buat julung kalinya telah berjaya melaksanakan Program Busking Dakwah (Muzikal Dakwah), meskipun dalam suasana hujan gerimis.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Ustaz Zainudin bin Mat Amin, program seperti ini sangat penting sebagai suatu bentuk dakwah kontemporari bagi menarik masyarakat awam khususnya golongan muda mudi agar mendekati ajaran Islam secara santai melalui hiburan dan tazkirah yang disampaikan serta alunan zikir yang dapat menyentuh kalbu.

Program yang berlangsung pada kali ini telah menampilkan artis tempatan, Man John & The Gang yang telah mendendangkan beberapa buah lagu dakwah yang bertemakan ketuhanan, sambil iringan muzik yang dapat menghiburkan hati.

Program Busking Dakwah ini turut diserikan dengan dendangan beberapa lagu dakwah dan tazkirah yang disampaikan oleh Ust Shafie Abd Rahman (AJK DUPWP). Beliau yang berpengalaman luas dalam bidang kesenian pernah mengeluarkan album nasyid ketika bersama-sama kumpulan nasyid as-Saufi, benar-benar berjaya menarik perhatian audien yang hadir.

Penampilan Ust Md Ali Jamil yang telah menyampaikan beberapa buah sajak yang ditujukan kepada hadirin, khususnya kepada golongan muda, menyerlahkan kewibawaan DUPWP berdakwah melalui kesenian. Beliau turut menyampaikan tazkirah, sekali-sekali diselangi dengan beberapa rangkap lagu yang benar-benar mencuit rasa dan menghiburkan.

Kesenian sebenarnya suatu pendekatan yang pernah digunakan oleh generasi terawal seperti sahabat nabi Hassan bin Thabit yang menggunakan syairnya untuk mempertahankan Rasulullah SAW daripada dikecam oleh musuh-musuh Islam. Demikian juga, ulama terdahulu seperti Imam al-Shafie menggunakan sajak-sajak dan syair untuk menyampaikan mesej Islam sehingga terhasilnya kitab Diwan al-Shafie.

Sepanjang program berlangsung, keceriaan malam diringi dengan gerimis. Namun, kehadiran masyarakat tetap memenuhi ruang legar Pusat Penjaja IKS Jalan Gasing, Lembah Pantai.

Program berakhir pada jam 12 malam dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Ketua DUPWP. Doa dibaca dengan penuh kesyahduan agar hadirin mendapat hidayah Allah. Beliau turut mendoakan agar pemunya kedai akan diberkatinya perniagaannya.