Taman Rekreasi Alam Damai, 7 November 2015.

Pihak Lajnah Dakwah BTR dengan kerjasama Lajnah Dakwah BPPWP buat julung kalinya telah menjayakan Program Jogging Dakwah bertempat di Taman Rekreasi Alam Damai.

Seawal Jam 0730 pagi, para peserta telah berhimpun di Taman Rekreasi Alam Damai. Program ini dimulai dengan sedikit taklimat yang disampaikan oleh Pengerusi Lajnah Dakwah BTR, Sdr Abdul Halid bin Basir.

Menurut Pengerusi Lajnah Dakwah BPPWP, Islam sebagai agama yang syumul sangat mementingkan gaya hidup sihat sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith sohih ;

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa; "Rasulullah saw bersabda: 'Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah Swt daripada orang mukmin yang lemah. Riwayat Muslim.

Syariat Islam merupakan
suatu ajaran yang sangat mudah untuk dilaksanakan dan tidak membebankan umatnya, menepati firman Allah :


Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Surah al-Baqarah : 185.

Sifat kemudahan yang ada di dalam Islam, membolehkan umatnya menunaikan ibadat di mana sahaja, asalkan tempat itu suci daripada najis, meskipun di atas tanah, padang rumput dan sebagainya. Dalam syariat terdahulu, ibadat solat hanya boleh dilakukan di tempat ibadat yang khusus. Inilah di antara perkara yang kurang difahami oleh masyarakat awam.

Program Jogging Dakwah ini dianjurkan bagi mencapai objektif berikut :
 
1) Menjelaskan bahawa Islam mementingkan gaya hidup sihat.

2) Menonjolkan bahawa syariat Islam suatu perkara yang mudah.

3) Menunjuk tatacara berwuduk dengan air yang sedikit.

4) Menjelaskan bahawa ibadat solat boleh dibuat di mana-mana lokasi walau pun di taman, padang dan sebagainya.

Program yang dirasmikan oleh TPJ 1 BPPWP  ini, dimulai dengan taklimat, disusuli dengan aktiviti jogging.

Dalam ucapan perasmian, TPJ 1 BPPWP telah menegaskan bahawa : "Kita (pendokong-pendokong PAS) jangan hanya jumpa orang masa pilihanraya sahaja. Kita kena sentiasa turun ke lapangan berjumpa dengan orang ramai menyampaikan mesej islam. Dengan cara ini, insya allah, Pas akan dapat berkembang subur dan diterima baik oleh masyarakat".

Selepas menikmati sedikit jamuan ringan, para peserta dihidangkan dengan demontrasi berwuduk dengan menggunakan air yang sedikit. Slot ini telah dijayakan oleh Ust Ahmad  Tarmizi bin Abdullah, pemangku Ketua Pemuda Pas Lembah Pantai. Seterusnya, beliau mengimamkan Solat Hajat yang diadakan di perkarangan parkir kereta.

Terbayang di wajah para peserta, perasaan kegembiraan kerana telah mendapat satu informasi yang sangat bermakna, khususnya berkaitan dengan amali wuduk dalam situasi kita mempunyai air yang sangat terhad.

Sepanjang program berlangsung, pihak muslimat membahagikan air dan roti kepada sesiapa sahaja yang berjogging. Ia menjadi simbolik bahawa Pas juga menekankan aspek kebajikan.

Kesimpulannya, Islam yang indah mesti diperkenalkan kepada masyarakat melalui dakwah secara mudah sehingga masyarakat meyakini bahawa ajaran Islam memang sentiasa sesuai dengan fitrah manusia dan sentiasa memberikan kemudahan serta tidak rigid sehingga membebankan penganutnya.

Disediakan oleh :
Ust Zainudin
Pengerusi Lajnah Dakwah BPPWP..