SEPANG: Takliq menjadi sah apabila perbuatan yang disandarkan ke atasnya dilanggari dan ia tidak boleh ditebus dengan membayar kafarah, demikian tegas Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din.

Jelas beliau, baiah dan takliq adalah dua perkara yang sepatutnya dibezakan di mana takliq bukannya baiah dan ia berdiri sendiri sebagai ‘ta’liquttalaq’.

Terangnya, baiah adalah suatu perkara yang diterima umum, tetapi ‘ta’liquttalaq’ adalah satu tajuk khusus dalam bab nikah.

Beliau menjelaskan demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Kompleks Pusat Dakwah Serantau di Kampung Labuhan Dagang, di sini 9 September.

“Adapun yang dipanggilkan dengan takliq itu dia hanya thabit dengan melafazkan talak (yang) dikaitkan atau digantungkan dengan sebarang gantungan. Yang diamalkan di Malaysia secara umum, takliqnya berhubung dengan pemberian nafkah, tinggal isteri begitu lama lebih daripada enam bulan atau menyakiti isteri.

“Itu takliq yang diamalkan seluruh Malaysia. Itu telah menjadi amalan yang begitu lama diterima pakai dan tidak ada masalah sebab ia adalah takliq. Takliq di Malaysia bukan sahaja yang dikenakan oleh pemerintah, seperti yang ada dalam surat nikah yang diberikan dengan takliq. Tapi suami boleh bertakliq dengan apa sahaja perkara.

“Misalnya dia tak bagi isterinya pergi ke rumah jiran, dia bertakliq, “Sekiranya kamu pergi ke rumah (jiran), maka tertolaklah kamu dengan satu talak”. Jika thabit isteri telah pergi, maka memang talak itu jatuh,” terang beliau.

Jelas Tuan Guru, demikian dalam masalah yang dikaitkan dengan baiah di mana di dalamnya itu terdapat lafaz takliq.

Maka katanya, takliq itu berdiri atas kakinya sendiri, iaitu sekiranya seseorang itu mengkhianati perjuangan, meninggalkan perjuangan, masuk ataupun pergi ke parti lain, maka tertolaklah isterinya dengan tiga talak.

Takliq itu tegasnya, sah kalau berlaku perbuatan yang dilanggarinya, maka jatuhlah talak isterinya dengan tiga talak.

“Itu tiada paksaan semasa hendak menyebutnya dahulu. Maka tidak ada paksaan, maka sahlah ia. Kalau paksaan pun, bukan sebarang paksaan yang dinamakan paksa. Paksaan bermakna “Ketakutan yang amat sangat terhadap agamanya atau nyawanya atau hartanya atau kehormatannya”.

“Darurat syarat hanya menerima ketakutan yang amat sangat, takut yang sesungguh-sungguh takut, yang boleh menghilangkan nyawanya atau merosakkan agamanya, atau harta bendanya, atau kehormatannya, maka boleh dia melakukan perkara yang dilarang.

“Dalam kes bai’ah ini tidak ada paksaan, dalam kes mentalakkan isteri pun tidak ada paksaan. Semua menyebut dengan penuh rela yang tak pernah mereka ragui selama ini, tiba-tiba selepas mereka melanggarnya dengan meninggalkan perjuangan, baru timbul kata boleh selesaikan dengan membayar kafarah,” ujarnya.

Tegas beliau, tidak ada kafarah dan tidak ada sebarang peruntukan dalam syarak bahawa orang yang melanggar janji boleh membayar kafarah.

Iaitulah jelas Tuan Guru, orang yang telah mentalakkan isterinya tebus dengan kafarah tidak pernah ada dalam hukum syarak, sedang kafarah dibayar dengan puasa selama sepuluh hari itu adalah kafarah yamin.

“Kafarah sumpah merdeka seorang hamba atau beri makan kepada sepuluh orang fakir miskin atau bagi pakaian kepada orang miskin atau puasa tiga hari. Tapi mereka berpuasa sepuluh hari itu puasa apa? Ok, apapun takliq talak tidak boleh ditebuskan dengan namanya kafarah.

“Kalaulah boleh takliq talak itu dibayar dengan kafarah, iaitu puasa tiga hari, maka saya yakin seluruh rakyat Malaysia yang telah mentalakkan isteri dia dalam takliq talak lepas perkahwinan semua nak bayar kafarah kerana tak mahu isteri berada dalam keadaan tergantung-gantung talak.

“Tak boleh buatlah, moga orang tidak buat, maka yang ini pun tidak buat. Kalau kita faham demikian, maka masing-masing tanya dirinya akhirnya kita akan kembali kepada Allah SWT. Maka Allah Taala akan tentukan apa yang telah berlaku itu sama ada betul ke tidak apa yang mereka lakukan ataupun mereka menanggung dosa yang besar,” tegurnya.