Kerajaan Persekutuan mesti mendedahkan kepada umum statistik bulanan kemasukan pekerja asing ke negara kita.

Kemasukan pekerja asing adalah pada tahap yang amat membimbangkan rakyat. Contohnya pengumuman Kerajaan Persekutuan bahawa 1.5 juta pekerja warga Bangladesh akan dibawa masuk ke negara ini dikecam oleh orang ramai.

Keadaan sekarang seolah-olah tidak terkawal kerana terdapat sektor-sektor pekerjaan yang dikuasai oleh pekerja asing.

Telah terbukti juga bahawa tanpa mereka terdapat sektor-sektor seperti pembinaan dan perladangan akan lumpuh.

Jika statistik kemasukan pekerja asing ini didedahkan secara telus kepada umum, Kerajaan Persekutuan tidak boleh dengan sewenang-wenangnya membawa masuk pekerja asing.

Rakyat berhak mengetahui jumlah kemasukan pekerja-pekerja asing ini kerana ia memberi impak yang besar kepada masyarakat. Rakyat juga berhak membuat bantahan.

Tambahan pula terdapat laporan media bahawa wujudnya sindiket "warganegara ekspres" di mana warga-warga asing boleh membeli MyKad dengan mudah. PAS telah juga menghantar memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri pada 10 Julai lepas menggesa satu siasatan yang terperinci dilakukan.

Oleh yang demikian, perlu ada kawalan yang ketat terhadap kemasukan pekerja asing malah satu perancangan jangkapanjang agar pergantungan negara terhadap pekerja asing dapat dikurangkan perlu dilaksanakan.

Iskandar Abdul Samad
Naib Presiden PAS
27 Julai 2015