KUALA TERENGGANU – Bekas Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mengingatkan beberapa bekas pemimpin PAS yang berhasrat menubuhkan parti baharu berfikir panjang dan tidak terperangkap dengan agenda DAP.

Beliau, yang bercakap atas dasar peribadi memberitahu, beliau bersedia perjelas kepada ahli kumpulan G18 yang kini menggunakan nama Harapan Baru berhubung agenda DAP itu memandangkan segelintir sudah menjadi burung kakak tua dengan mengikut gaya politik DAP.

Menyifatkan mereka sebagai adiknya, Mustafa bimbang jika mereka meninggalkan agenda hudud apabila bersama DAP yang jelas menolak hudud sejak awal.

“Yang menjadi pertikaian antara PAS dan DAP ialah hudud. DAP kata, anda hendak bersama dengan kita tinggal hudud sebab DAP merasakan dia boleh menguasai pengundi Cina sekarang ini.

"Mereka ini hendak menang pilihan raya memerlukan undi Cina sebab dia punya matlamat. Pada saya, pada waktu ini dia punya matlamat jangka pendek hendak menang pilihan raya," katanya.

Beliau yakin kalau mereka tidak berhati-hati, kumpulan itu akan tinggal hudud sebab DAP bantah undang-undang Islam itu.

"Dia orang akan ikut (tolak hudud) dan itu adalah jangkaan saya,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di Pejabat Perhubungan PAS Terengganu, Jalan Sultan Omar, di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau meminta golongan berkenaan berfikir dengan bersungguh-sungguh kerana ia adalah perkara besar yang melibatkan masa depan mereka sendiri.

“Sebab itu saya minta mereka ini fikir panjang dan buat perhitungan yang benar-benar matang dalam mengambil tindakan yang mereka hendak buat ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, sebagaimana berlaku kepada Presiden Jati, Datuk Dr Hassan Ali dan bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa. Kedua-dua mereka mendapat perhatian yang lebih besar pada waktu dahulu berbanding ketika ini dan tidak menolak kemungkinan yang sama akan berlaku pada pemimpin PAS yang menyertai parti baharu.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan beberapa pemimpin PAS yang mendesak kumpulan Harapan Baru meletak jawatan sebagai ahli parlimen dan Adun, beliau menolak pandangan tersebut, sebaliknya beranggapan lebih baik mereka diberi peluang.

“Tetapi kalau mereka tubuh parti politik baharu, secara automatik mereka dipecat. Kalau sudah keluar PAS, tubuh parti baharu dan lawan PAS, saya (juga) akan lawan mereka,” katanya.