KUALA LUMPUR : Parti Amanah Negara (PAN) dilihat ingin menumpang PAS yang telah berjaya meletakkan asas Islam dan membina negeri yang lebih baik di Kelantan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata,  Amanah perlu fokus kepada negeri lain dan membina asas sendiri dari merampas Kelantan daripada PAS.

“PAN seperti ingin menumpang apa yang telah dibina oleh PAS selama ini. Situasi di Kelantan sebenarnya sudah sangat baik. Tiada keperluan untuk tukar kerajaan baharu.

“Saya fikir seeloknya mereka cuba fokus di negeri lain yang masih teruk dan perbetulkan polisi dasar supaya menepati kehendak Islam,” katanya, semalam.

PAN melalui Presidennya Mohamad Sabu berkata sedia menggantikan PAS mentadbir Kerajaan Kelantan pada PRU14.

Kata Tuan Ibrahim lagi, kenyataan Mohamad itu juga telah menyebabkan matlamat asal penubuhan PAN telah tersasar.

“Mereka perlu ingat asas mereka pada awal penubuhan Amanah dahulu ingin menewaskan Umno bukan menyerang PAS.

"Mereka sudah lari matlamat asal mereka dan parti tersebut hanya cakap tak serupa bikin,” katanya, semalam.

Namun kata Tuan Ibrahim, PAS tidak pernah gentar dengan kenyataan Amanah tersebut dan yakin rakyat di Kelantan masih menerima Parti itu.

“Semua orang boleh mendakwa bahawa parti mereka mendapat sambutan. Tetapi PAS sememangnya masih kukuh dan kuat di Kelantan,” katanya.