KOTA BHARU - Pas kecewa dengan tindakan DAP yang dianggap terlalu agresif apabila memecat 300 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pas yang enggan menyokong Pakatan Harapan di Pulau Pinang.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun bersedia menjadi pembangkang, tindakan itu dianggap keterlaluan kerana Pas antara komponen parti yang turut menyumbang kemenangan PRU13 sebelum ini.

“Pas rasa dukacita dengan apa yang berlaku sebab kemenangan PRU13 adalah kemenangan bersama hasil gerak kerja bersama, tetapi Pas sedia menerima dan kita akan bertindak sebagai pembangkang di Pulau Pinang,” katanya, semalam.

Beliau mengulas tindakan Kerajaan Pulau Pinang di bawah pentadbiran DAP memecat JKKK Pas yang memberi alasan ia sebagai proses biasa bagi melicinkan pentadbiran kerajaan negeri.

Ditanya sejauh mana hubungan Pas dan PKR dalam konteks Pakatan Rakyat, beliau berkata, ia lancar sebagaimana mandat muktamar sebelum ini.

“Komitmen kita dengan PKR masih ada, kita mengadakan pertemuan empat kali dengan kepimpinan tertinggi PKR. Hubungan di Selangor dan negeri lain semuanya ikut keperluan semasa,” katanya.