DERITA RAKYAT,  DERITA KITA

Salam sayang
Salam kasih
Buat penoreh getah
Di pendalaman Kedah.
Bila ku baca tinta mu

Intifada.
Terasa sebak dada ini.
Termenung
Terkelu
Tergamam daku.
Kerana
Terbayang wajah insan
Tersayang yang telah pergi
Lewat tahun enam puluhan
Merekalah insan
Yang mencari sesuap nasi
Untuk dimakan.
Mereka terkadang
Tidak dapat menjamah sesuap nasi.
Mereka terkadang
Terlena dalam kelaparan
Mereka terkadang
Terkulai layu
Dalam letih dan penat.
Dimasa lampau
Terbayang ke sekolah dengan berkaki ayam.
Dimasa lampau
Ke sekolah berjalan kaki.
Dimasa lampau
Ke sekolah merandok
lumpur dan paya.
Dimasa lampau
Ke sekolah tanpa
wang dipoket
Sekadar memakan
Kuih yang dibekal
oleh seorang ibu.
Rupanya derita ku itu
Masih dirasai oleh si anak zaman teknologi ini.
Mana pergi Bapa Menteri?
Mana pergi Datuk²
Dan Tan Sri?
Kalian hilang
tanpa batang tubuh
Kalian hilang
Dari pandangan mata
insan desa
Yang tanpa nama
tanpa darjat.
Aduh
Terasa terlalu pilu
Dan sedih
Pabila terbayang
Wajah2 anak kebun getah
Pabila terbayang
Anak2 nelayan ditepi pantai.
Menangis mereka
Meminta makan
Merengek mereka
Meminta kasut dan baju baru.
Tapi si ayah diam
Tapi si ibu menangis hiba dalam duka.
Kerana kasih pada si anak.
Kasihan anak ku
Kau tak mengerti
Kau masih tak tahu apa-apa.
Inilah hidup kita.
Anak ku.
Moga masa mendatang
Kau bisa mewarna daerah yang gersang dan tandus ini.

Dr (H) Md. Ali  Jamil.
Ketua Dewan Ulamak Pas WP.
19 hb. Dis 2015